Kanibal Indonesia kini bebas

Bagaimana rasanya daging manusia? “Sangat enak,” jawab Sumanto, sang kanibal dari Purbalingga, Indonesia.






Nuffnang Ads





SUMANTO pernah menggemparkan Indonesia kerana tabiat anehnya.

AHAD 12 Januari 2003. Penduduk Desa Majatengah, Purbalingga, Jawa Tengah, Indonesia gempar kerana kubur seorang wanita tua yang baru dikebumikan pada petang Sabtu itu telah digali orang.

Mayat wanita itu, dikenali sebagai Ibu Rinah, 80 tahun, turut ghaib. Kain kapan dan batu nisan berselerakan di atas tanah yang masih merah.

Ketua kampung itu, Agus Budi, percaya mayat yang diambil akan digunakan dukun atau seseorang yang belajar ilmu hitam.

Berita itu cepat tersebar. Beberapa hari kemudian, seorang penduduk dari Desa Pelumutan, kampung bersebelahan Desa Majatengah, memberitahu dia ternampak seorang pemuda memakai sejenis kalung yang aneh. Kalung itu dipercayai diperbuat daripada kemaluan wanita.

Pihak polis tidak mengambil masa yang lama untuk menggeledah rumah suspek apatah lagi selepas terhidu bau yang sangat busuk datang dari rumah lelaki itu.

Di situ, polis menemukan tulang-tulang manusia dan jenazah Rinah yang dikuburkan lima meter dari rumahnya. Setelah digali, jenazah Rinah yang ditanam sedalam setengah meter itu sudah tidak sempurna. Daging di kedua-dua pahanya telah dimakan.

Dalam pengakuannya, Sumanto berkata, daging paha Rinah sempat digoreng dan dibuat sate. Sebahagian daging yang dimasak itu diberikan kepada bapanya, Nuryadikarta. Kepada bapanya, Sumanto cuma mengatakan ia daging kambing.

Sumanto mendedahkan, dia menggali kubur Rinah tanpa menggunakan cangkul, sebaliknya hanya dengan tangan kosong. Mayat wanita itu dimasukkan ke dalam karung dan diikat dengan dawai sebelum diangkut dengan basikal.

Di rumah, Sumanto memotong bahagian kaki dan menyiat kemaluan Rinah. Sebenarnya, Sumanto mendakwa kasihan semasa melapah dan memotong lutut Rinah. Namun, lantaran niat untuk mendapatkan ilmu dan mengubah hidupnya, perasaan itu hilang.

Sebelum diangkut ke rumah, Sumanto, yang sebelum itu bekerja kampung termasuk mencari burung dan menjual jamu sempat menelan mentah-mentah dua ibu jari kaki Ibut Rinah.

Makan cengkerik

Sejak kecil, Sumanto dikatakan gemar makan serangga seperti cengkerik.

Ketika berpacaran dengan seorang gadis sekampung bernama Samien, Sumanto pernah diserang pemuda kampung yang lain kerana cemburu.

Bermula dari detik itu, Sumanto berazam menuntut ilmu kebal. Dia berguru dengan Taslim yang berasal dari Jambi. Namun, perguruan itu bersyarat. Sumanto mesti memburu dan makan sejumlah mayat.

Selepas itu, Sumanto merantau ke Lampung dan berkerja di sebuah ladang tebu. Di sana, dia berkenalan dengan sekumpulan pemuda yang mengajarnya agar memasukkan sedikit daging hasil buruan ke dalam lengan dengan tujuan bertambah kuat dan tidak dibayangi roh hasil buruan.

Selepas itu, berlaku satu insiden dia telah diperas ugut dan dipaksa menyerahkan wang upah bekerja. Kerana terpaksa, Sumanto melibas perut si penjahat hingga mati. Mayat lelaki itu dimakannya.

Walaupun sudah memakan tiga mayat, Sumanto mengakui kehidupannya belum berubah. Alasannya, ilmunya belum lengkap. Malangnya, sebelum misi sempurna, dia telah ditangkap polis.

Bagaimana rasanya daging manusia? "Sangat enak," jawab Sumanto yang tinggal di Lampung sejak 1992 dan kembali ke kampungnya lima tahun kemudian.

Tingkah laku aneh Sumanto menyebabkan dia dituduh gila oleh penduduk kampung. "Mengapa semua orang, terutama wanita di desa takut pada saya. Apakah memang saya gila?" tanya Sumanto kehairanan.

Kini, Sumanto ibarat objek yang sangat menakutkan. Walaupun Sumanto sudah ditahan polis, perasaan takut masih menjalar. Untuk beberapa lama, kanak-kanak Desa Majatengah takut pergi mengaji sehinggakan masjid menjadi kosong.

Ada juga keluarga yang tidur malam sebilik. Bahkan ada yang menumpang tidur di rumah jiran.

'Sekarang saya makan bayam'

Semasa ditahan di Tahanan Polres Purbalingga, tiada seorang pun tahanan yang berani tinggal satu bilik dengan Sumanto. Alasannya, mereka takut dimakan Sumanto.

Setelah dibicarakan, Sumanto dipenjarakan selama lima tahun di LP Purwokerto. Pada 24 Oktober 2006, Sumanto dibebaskan.

"Saya sukakan semua jenis daging asalkan ia dimasak. Tapi saya sudah tidak makan orang. Sekarang saya makan bayam," kata Sumanto, 37, kepada wartawan AFP semasa ditemui di Pusat Pemulihan Mental di Jawa Tengah, baru-baru ini.

Selepas dibebaskan, penduduk kampung masih tidak boleh menerimanya, jadi dia ditempatkan di pusat pemulihan itu.

Bapanya yang bekerja sebagai petani, Nuryadikarta, 65, berkata dia merindui anaknya itu tetapi tidak dapat membawanya pulang. "Tidak kira betapa jahatnya dia, dia tetap anak saya. Saya mahu membawanya pulang tetapi jiran-jiran pasti akan menghalaunya," katanya.

Menurut penjaganya di pusat itu, Ahmad Sugimin, sekali makan, Sumanto boleh menghabiskan dua pinggan besar nasi, 60 cucuk sate, 16 ketul daging sebesar penumbuk dan lapan ketul ayam. "Bagaimana dia boleh hidup di luar kalau sekadar bekerja sendiri? Saya bimbang jika dia kembali makan mayat," kata Sugimin.

Namun, Sumanto menafikannya. Sambil menunjukkan kepada botol-botol air yang kosong di katilnya, Sumanto berkata dia boleh hidup dengan air, vitamin dan mineral sahaja.

"Daging memang lebih sedap daripada sayur-sayuran. Tetapi jika tiada daging, saya boleh makan rumput. Ia menyihatkan dan saya juga boleh menggorengnya supaya lebih sedap," katanya.


Your Ad Here

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.