BAYANGKAN situasi ini. Anda disahkan koma dan seluruh dunia menganggap anda benar-benar mengalaminya. Sedangkan deria anda yang lain masih berfungsi.
Harapan untuk Rom Houben
Pengalaman itu bertambah pedih apabila segala kutukan jururawat dapat didengar dengan jelas. Ketika ibu memberitahu tentang kematian bapa, hati teramat sedih. Namun tubuh anda tidak dapat bertindak balas. Air mata tidak mengalir, hanya fikiran yang menanggung segala kesedihan itu.
Begitulah kesengsaraan yang dialami oleh mangsa kemalangan jalan raya, Rom Houben, 46, selama lebih dua dekad kehidupannya. Sepanjang tempoh itu, Houben berada dalam keadaan sedar dan dapat mendengar perbualan orang-orang di sekelilingnya dengan jelas.
Seakan-akan 'dipenjara di dalam tubuhnya sendiri', dia bagaimanapun tidak dapat berbuat apa-apa. Tidak mampu berkomunikasi dengan doktor atau keluarga dan jauh sekali dapat menggerakkan kepalanya. Hendak menangis pun tidak dan dia hanya mampu mendengar. Selain bernafas, menelan mahupun keupayaan mencernakan makanan, keadaan Houben itu boleh disifatkan sebagai 'mayat' yang masih bernyawa.
Bekas pelajar jurusan kejuruteraan itu berasa amat tidak berdaya. Selama ini, dia sebenarnya berada dalam keadaan sedar, tetapi orang sekeliling tidak tahu mengenainya.
Berikutan satu kemalangan jalan raya yang nyaris meragut nyawanya pada tahun 1983, kes Houben diklasifikasikan sebagai 'tiada harapan'. Pakar-pakar perubatan yang merawatnya yakin Houben tidak dapat merasai kesakitan.
"Harapan untuk pulih nipis atau tidak wujud sama sekali," demikian kesimpulan mereka.
Penderitaan Houben terus berlarutan sehinggalah tuah menyebelahinya apabila kesnya menarik perhatian seorang pakar neurologi dari Belgium, Steven Laureys.
Laureys yang mengetuai Kumpulan Sains Koma di Universiti Liege, Belgium terkejut melihat tahap kesedaran Houben yang tidak pernah disedari oleh sesiapa.
SETELAH koma selama 23 tahun, Rom Houben merasakan dirinya bagaikan 'dilahirkan kali kedua'.
"Macam mana mereka yang pernah merawat dan menjaga Houben gagal mengesannya selama ini?" soalnya.
Menurut Laureys, dia bagaimanapun faham adalah sukar untuk menyingkirkan label 'koma' sebaik sahaja seseorang pesakit didiagnosis sedemikian rupa.
Mengambil keputusan untuk melihat sendiri kes-kes pesakit koma, Laureys percaya biarpun dalam keadaan koma, tahap kesedaran kebanyakan pesakit masih berfungsi dengan baik.
Dengan menggunakan sebuah sistem imbasan berteknologi tinggi, Laureys menolak Houben masuk ke dalam tiub Magnetic Resonance Imaging (MRI). Bahagian otak yang lebih luas disalurkan ke skrin monitor.
Hasilnya? Otak Houben didapati dapat berfungsi pada tahap hampir normal! Malah, kes Houben bukan satu-satunya yang membuktikan pandangan bahawa koma tidak semestinya tidak sedar.
Hakikatnya, pasukan pakar Laureys telah menemui berdozen-dozen kes seperti itu. Imbasan otak menerusi tomografi juga terbukti tidak selalunya diperlukan. Sebaliknya, yang penting, pesakit perlu diperiksa secara menyeluruh.
Dalam jurnal BMC Neurology, satu kajian tulisan Laureys telah menyatakan kes Houben sebagai antara himpunan kes koma yang tersalah diagnosis di dunia.
Hasil penemuan Laureys itu secara tidak langsung membuka perdebatan lama tentang keputusan yang harus dibuat sebelum doktor-doktor 'menamatkan' riwayat seseorang pesakit koma.
"Houben cuma tidak memperoleh rawatan daripada barisan doktor yang bagus," katanya memberi pendapat.
Selama ini, doktor-doktor di Belgium telah menggunakan satu skala yang diiktiraf global untuk memantau keadaan Houben. Dikenali sebagai Skala Koma Glasgow, pesakit akan dinilai menerusi tindak balas motor, mata dan verbal.
Sayang sekali, mereka gagal menilai Houben dengan tepat dan terlepas pandang petanda-petanda bahawa otak lelaki itu masih berfungsi.
Kejayaan Houben itu terdedah selepas dia mampu memberi indikasi 'Ya' dan 'Tidak' menggunakan kakinya.
STEVEN LAUREYS sentiasa percaya masih ada harapan untuk pesakit koma pulih seperti sebelum ditimpa musibah itu.
"Tidak berdaya. Pada mulanya saya marah. Lepas itu, saya belajar menerima hakikat ini," kata Houben dengan memberi jawapan menerusi ketukan jari pada skrin sentuh.
Laureys sempat memberitahu tentang beberapa kes koma terkenal seperti yang berlaku pada warga Amerika Syarikat (AS), Terri Schiavo. Sokongan nyawa Schiavo telah diputuskan pada 2005 setelah 15 tahun dia berada dalam keadaan koma.
Jumlah pesakit koma yang tersalah diagnosis juga kerap berlaku. Tambahnya, golongan pesakit yang dianggap berada dalam koma jangka panjang harus 'diuji 10 kali'. Ini kerana seperti tidur, koma mempunyai beberapa peringkat berbeza dan perlu dipantau.
Dua dekad selepas Houben kehilangan kawalan ke atas tubuhnya, dia kini mampu berkomunikasi dengan menggunakan satu jari. Bersama sebuah peranti skrin sentuh khas di atas kerusi rodanya, prestasinya hari ini adalah hasil daripada sesi-sesi terapi fisiologi yang intensif sejak tiga tahun lalu.
"Saya hidup dalam mimpi selama ini," kata Houben yang berjaya 'diselamatkan semula' kira-kira tiga tahun lalu.
Lelaki yang fasih dalam empat bahasa itu memberitahu, dia banyak bermeditasi agar hari-hari peritnya berlalu tanpa disedari.
Momen dia ditemui tidak lagi berada dalam keadaan lembik, Houben akui dia rasa bagaikan kelahiran kedua.
"Saya tidak akan lupa hari mereka menemui saya. Ia bagaikan satu kelahiran semula,"
Sementara itu, ibunya, Fina memberitahu, anaknya telah dibawa ke AS untuk pemeriksaan semula sebanyak lima kali.
IBU Rom Houben, Fina menunjukkan gambar-gambar lama anaknya.
Sepanjang tempoh kesengsaraan itu, keluarga Houben turut enggan menerima hakikat pahit itu. Mereka ingin terus mempercayai dan yakin pada keajaiban. Jauh sekali niat untuk membiarkan Houben mati begitu sahaja.
"Bila saya suruh Houben rilekskan diri, dia ikut saja. Malah, masa saya tolong pakaikan bajunya, dia menoleh ke arah saya.
"Doktor-doktornya mendakwa itu cuma tindakan refleks. Tetapi, kami sentiasa tahu anak kami masih ada," katanya.
Saat keadaan sebenar anaknya disahkan ada harapan untuk kembali sihat, Fina nyata orang pertama yang teruja dengan berita tersebut.
"Waktu itu, awak akan rasa macam... 'Oh, Tuhanku. Sekarang anda tahu.' Saya sudah lama yakin," katanya kepada The Associated Press.
Tentang rancangan masa hadapan Houben, dia berharap untuk merekodkan segala trauma yang dilalui dan 'kelahiran keduanya' dalam sebuah buku.