Wanita ajaran Sesat

"BAPA saya mempunyai empat orang isteri, namun dia masih tidak boleh menahan nafsunya terhadap anak-anak perempuannya. Saya telah didera secara seksual oleh bapa saya sejak saya berumur tiga tahun setengah lagi.


"Seorang kakak saya mempunyai lima orang anak lelaki dan semuanya diliwat oleh bapa mereka."

Demikian luahan Rena Mackert, 54, seorang bekas pengikut Fundamentalist Church of Jesus Christ of Latter Day Saints (FLDS) yang didakwa berteraskan ajaran dahulu kala Mormon kepada media dalam satu temu bual pada April tahun lalu. Temu bual itu diadakan tidak lama selepas serbuan pihak berkuasa Texas, Amerika Syarikat (AS) di markas ajaran itu, Ladang Yearning for Zion (YFZ) dekat Eldorado, Texas.

Baru-baru ini, isu itu kembali menarik perhatian. Perbicaraan melibatkan 12 lelaki pengikut FLDS yang didakwa melakukan serangan seksual ke atas gadis bawah umur dilaporkan tertunda. Ini kerana pihak pembela mempertikaikan kredibiliti hakim Barbara Walther kerana mencampuri urusan pemilihan juri.

Terdahulu, Ketua FLDS, Warren Jeffs telah pun menerima hukuman penjara 10 tahun setelah disabitkan kesalahan kes rogol kanak-kanak perempuan berusia 14 tahun dan berkahwin dengannya.

KOMUNITI FLDS hanya didedahkan dengan pekerjaan bercucuk tanam dan tidak mengetahui perkembangan dunia luar.

Memang pelik tetapi benar apabila terdapat sekumpulan manusia yang menganut sesuatu kepercayaan dan amalan yang bertentangan dengan norma masyarakat umum. YFZ yang berkeluasan tujuh kilometer persegi dihuni oleh 700 pengikut FLDS yang mengamalkan poligami melampau.

Golongan alim FLDS percaya amalan poligami dapat membawa kepada keselamatan dan kesejahteraan yang kekal abadi kepada mereka. Kaum lelaki bertindak kejam ke atas gadis-gadis bawah umur di mana mereka dipaksa berkahwin demi memenuhi 'nafsu serakah' di sebalik agama.

Amalan-amalan karut seperti penderaan kanak-kanak, perkosaan kanak-kanak dan penderaan fizikal wanita turut dilakukan. Lebih teruk sesetengah amalan-amalan karut itu dilakukan di dalam rumah ibadat mereka.

Menurut seorang wartawan Mike Watkiss dari Phoenix's KTVK, yang membuat liputan mengenai komuniti FLDS, kanak-kanak perempuan di sana akan dipaksa untuk berkahwin dengan lelaki-lelaki berumur.

Sementara itu, kanak-kanak lelaki juga tidak terlepas daripada azab. Mereka dipaksa bekerja dan gaji yang mereka peroleh akan disalurkan untuk kebajikan rumah ibadat.

"Pada zaman demokrasi ini, masyarakat bebas menentukan hak mereka. Bukan seperti FLDS yang memperlakukan manusia seperti hamba," kata Mike.

Selebriti berpengaruh, Oprah Winfrey dalam lawatannya ke YFZ pada Mac lalu terpaksa melalui jalan yang panjang sebelum sampai ke kawasan YFZ. Malah kawasan tersebut juga berpagarkan rantai besi.

Tiba di kawasan tersebut, kelihatan penduduk di sana menjalankan aktiviti bercucuk tanam dan bersembahyang di rumah ibadat. Mendekati kanak-kanak FLDS, Oprah mendapati mereka tidak kenal langsung watak animasi Mickey Mouse, Scooby Doo, Sponge Bob dan lain-lain.

AMAT malang apabila kanak-kanak seawal usia 14 tahun dirogol dan dipaksa berkahwin dengan lelaki tua.

Kanak-kanak tersebut hanya bersekolah dan diajar untuk bercucuk tanam sahaja. Jika bersekolah pun, kanak-kanak tersebut hanya diajar dengan ajaran agama yang sesat.

Oprah berkesempatan menemubual dua mangsa adik-beradik yang dipercayai dirogol dan dipaksa berkahwin iaitu Elissa Wall dan kakaknya, Teressa Wall.

Elissa berjaya keluar daripada masyarakat poligami ajaran Jeffs pada usia 17 tahun. Elissa tidak menyangka yang dia begitu berani menentang ajaran Jeffs yang dianggap Nabi oleh puak FLDS itu.

Pada usia Elissa 14 tahun, dia telah dipaksa untuk berkahwin dengan sepupunya, Allen, 19.

"Perkahwinan dibuat bukan melalui persetujuan. Seseorang yang berlagak Nabi iaitu Warren Jeffs adalah dalang di sebalik perancang perkahwinan tersebut," kata Elissa.

Bagi kakaknya Teressa pula, pada usianya mencecah 14 tahun, dia telah dihantar bekerja di kilang pembalakan Bountiful, Kanada.

Teressa bekerja di sana sehingga usianya menjangkau 17 tahun apabila dipaksa berkahwin. Hasil perkahwinannya, Teressa memperoleh seorang anak lelaki dan dua orang anak perempuan.

"Saya tidak mahu dua anak perempuan saya mengalami nasib yang sama iaitu berkahwin pada usia yang muda. Mereka seharusnya memperoleh pendidikan yang sempurna," katanya.

Kebanyakan wanita di YFZ tidak tahu cara untuk menyelamatkan diri. Mereka tidak tahu arah tujuan untuk membawa lari anak-anak mereka daripada menjadi mangsa kekejaman FLDS.

Mengenai kewujudan YFZ di Texas, ia berlaku pada 25 Mac 2004. Ketika itu, pengikut-pengikut FLDS meninggalkan Utah dan Arizona setelah kedua-dua negeri itu menguatkuasakan undang-undang antipoligami dan masyarakat mengecam poligami.

Kawasan YFZ terdiri daripada beberapa buah kuil, pusat rawatan kesihatan kecil, 8,839 meter persegi rumah milik Jeffs, rumah mesyuarat, beberapa pokok balak besar dan rumah-rumah konkrit.

Komuniti FLDS tidak memiliki sebarang pusat beli-belah besar, apatah lagi pusat hiburan. Mereka hidup bersama di satu kawasan tanah tanpa didedahkan dengan perkembangan dunia luar.

BEGINILAH rumah ibadat yang tersergam di kawasan Ladang Yearning of Zion, dekat Eldorado, Texas, Amerika Syarikat.

Mereka hanya didedahkan dengan sejarah yang direka oleh Jeffs. Malah, pembelajaran di sekolah juga melalui idea yang direka oleh Jeffs.

Wanita-wanita FLDS kelihatan seperti wanita Inggeris dahulu kala. Setiap hari, mereka hanya menyarung gaun panjang sehingga ke kaki yang berwarna polos, sama ada biru, merah jambu atau kuning lembut.

Jika mereka berjalan beriringan, dari jauh ia kelihatan sama. Rambut mereka juga tidak pernah dilepaskan mengurai tetapi diikat atau didandan dan digayakan dengan jambul yang tinggi.

Pada 3 April 2008, selepas Pusat Perkhidmatan Perlindungan Kanak-Kanak Texas (CPS) dan pihak berkuasa lain menerima panggilan mengenai penderaan-penderaan yang dihadapi oleh remaja-remaja perempuan di sana, pihak berkuasa bersenjata Texas telah menyerbu kawasan YFZ.

Panggilan yang dibuat adalah melalui seorang remaja perempuan yang bernama Sarah, 16. Dia dipaksa oleh seorang lelaki berusia 49 tahun untuk berkahwin sekali gus menjadi isteri ketujuh lelaki tersebut.

Sarah yang selalu didera suaminya tidak tahan lalu mencari jalan keluar dengan menghubungi pihak berkuasa.

CPS membawa keluar 460 orang kanak-kanak yang terdapat di kawasan YFZ. Lebih daripada 50 orang wanita di sana yang dipercayai berkahwin pada usia antara 14 hingga 17 tahun.

Sedangkan, undang-undang di Amerika Syarikat menghalang remaja berumur 16 tahun ke bawah berkahwin.

Buat masa kini, kanak-kanak yang dibawa keluar daripada kawasan YFZ kekal ditempatkan di CPS, sementara pihak berkuasa masih menjalankan siasatan ke atas ajaran FLDS.

Setahun selepas serbuan, dua pertiga keluarga itu kembali semula ke kawasan YFZ dan para pemimpin FLDS pernah berjanji untuk menamatkan perkahwinan bawah umur.

Kini, salah seorang isteri kepada pengikut setia ajaran itu berjaya melarikan diri bersama lapan orang anaknya.

Wanita bernama Carolyn, 40, tampil ke khalayak dengan bukunya yang bertajuk Escape.

Melalui buku itu, Carolyn mendedahkan tentang ajaran menyimpang kumpulan itu yang dilabel sebagai 'fidofilia yang berselindung di sebalik nama agama'.

AJARAN FLDS mula menarik perhatian masyarakat dunia terutama selepas selebriti berpengaruh Oprah Winfrey membuat liputan.

Dia telah dipaksa berkahwin pada usia 18 tahun. Malah, calon suaminya merupakan lelaki yang berusia 50 tahun.

"Saya menolak sekeras-kerasnya. Tetapi beberapa hari sebelum berkahwin, saya dikurung dan diasingkan daripada masyarakat sehinggakan saya tidak dapat bercakap dengan adik saya sendiri.

"Ia menjadi titik tolak untuk saya mempersoalkan segala ajaran yang saya terima.

Saya tidak mempunyai pilihan, selain mematuhi arahan suami, termasuk menganggap dirinya Tuhan," katanya.

Jika Carolyn enggan, atau gagal menjalankan arahan, dia akan dihukum.

"Mereka juga menghukum anak-anak kami untuk kesalahan yang kami lakukan. Setiap pergerakan kami diperhatikan, kami tidak dibenarkan membuat sebarang keputusan sendiri, jauh sekali untuk memegang duit kami sendiri," katanya.
Tags

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.